Saya bersyukur kerana mendewasa di Maahad Muhammadi Lelaki. Tak terkira, pengalaman dan pelajaran yang diperoleh sepanjang 4 tahun bertumas di bumi bertuah ini.
Daripada pelajarannya, guru-gurunya, ko-kurikulumnya, bi’ahnya, warganya dan paling penting Tarbiyyahnya.. saya peroleh begitu banyak pedoman untuk dibuat bekal dalam perjalanan panjang ini, ke peringkat yang lebih tinggi.. InsyaAllah. Justeru, saya sentiasa memberi pandangan untuk adik-adik yang baru usai mendapat keputusan UPSR, “Jemputlah ke Maahad.. tempat terbaik untuk mengembara dan menimba pengalaman..”
Saya begitu berbangga, menjadi sebahagian kecil daripada diri Maahad.
Saya tak mahu menyentuh mengenai perkara yang sudah ada di tempat lain. Kami di Maahad Muhammadi mempunyai badan-badan yang dikendalikan hampir sepenuhnya oleh pelajar. Program-program daripada Minggu Orientasi (Minggu Taaruf & Thaqafah Islamiyyah/MIFTAH) hingga ke sambutan Hari Guru, semuanya kami, pelajar yang melaksanakan. Termasuk juga pembinaan sahsiah dan akhlak, Tarbiyyah, tidak sedikit peranan yang kami mainkan. Padanlah, kalau ‘abang-abang’ kami sedang memimpin di peringkat negara ketika ini. Mereka sudah dilatih sedemikian rupa sejak di bangku sekolah menengah lagi.
Kelab-kelab, persatuan, Kor Kadet, semuanya kami juga yang gerakkan. Kami yang mengaturkan latihan, menyertai pertandingan.. itulah sebabnya kami bermati-matian untuk kejuaraan, kerana bukan sedikit usaha yang telah kami jalankan.
Badan Latihan & Kepemimpinan Islam (BALKIS) dan pimpinannya, dikenali oleh sahabat-sahabat hampir segenap negeri Kelantan. Lebih-lebih lagi, Pengerusi BALKIS 2010, Izat Irfan Bin Izani, sedang mengetuai jawantankuasa penaja Gabungan Kepimpinan Pelajar Seluruh Negeri Kelantan. InsyaAllah, andai terlaksananya usaha kami yang ini, maka kita akan sama-sama melihat, pelajar-pelajar menengah agama bersatu demi kejayaan Islam!
Tambah membanggakan saya, kesemua organisasi pelajar di Maahad, bernaung di bawah Majlis Perwakilan Pelajar. Majlis yang kebiasaannya hanya wujud di peringkat institusi pengajian tinggi. Meskipun kami belum sampai ke tahap mengadakan pilihanraya untuk memilih ahli MPP, namun sedikit sebanyak kami berlatih dan belajar mengenai fungsi MPP. AlhamduliLlah, banyak sekali pengalaman dan pengajaran yang diperolehi melaluinya, sejak ia ditubuhkan dahulu.
Namun, akhir-akhir ini saya dan rakan-rakan teramat kecewa. Badai dan taufan globalisasi, senjata tajaan musuh-musuh Islam, yang telah meruntuhkan dinding dunia, hingga turut meruntuhkan peradaban agama dan akhlak manusia. Badai dan taufan yang mematikan iman dan akhlak remaja Islam, kini turut MELANGGAR MAAHAD!
Akhlak dan sahsiah yang kian terpokah daripada peribadi remaja Islam seluruh dunia, kini turut memberi tempias kepada Maahad. Kami terpaksa mencari jalan baru, untuk berhadapan dengan pelajar-pelajar masa kini, yang begitu up-to-date sekali pemikiran mereka, terutama dalam bab hiburan, permainan dan keseronokan (gejala biasa remaja hari ini). Kendatipun, setingginya syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi, Maahad masih kekal bertahan..
“Virus suntikan musuh-musuh Islam ini, mestilah dihadapi oleh pimpinan pelajar di Maahad dengan saksama, dengan perkasa!”
Saya melihat, yang MPP Maahad sepatutnya boleh memainkan peranan yang berkesan untuk menggembeleng tenaga, pimpinan-pimpinan pelajar. Kita mesti sama-sama mempertahankan akhlak dan nilai-nilai agama yang asli dalam kalangan sahabat kita.
Sedihnya, untuk 2 ke 3 tahun kebelakangan, MPP sungguh lesu. Kelihatan benar tidak bermaya, hinggakan tidak ‘terasa’ dan hampir tidak ternampak kesan-kesan keberadaan mereka. MPP hanya tinggal menjadi jawatankuasa penganjur Sambutan Hari Guru, hanya menjadi kumpulan pelajar berbaju biru dan berkot, yang menjadi Pengacara Majlis setiap kali perhimpunan.
Sedangkan, BUKAN itu tujuan MPP ditubuhkan!
Ia ditubuhkan, 6 tahun lalu, dengan cita-cita yang besar! Bukankah misinya “beriltizam untuk menjadi model sebuah organisasi terulung yang menggerakkan seluruh potensi pelajar bagi melahirkan generasi Rabbani melalui latihan kepimpinan berteraskan Islam dan ilmu pengetahuan”?
MPP sepatutnya berperanan, menyelaras dan memastikan aktiviti-aktiviti organisasi pelajar supaya ia tersusun dan terarah (objektif MPP/2).
Ke arah mana?
Islam tentunya!
Lalu, apakah ‘penyelarasan’ yang dilakukan MPP? Apakah usaha yang dilakukan ke arah merealisasikan harapan dan cita-cita besar ini? Saya berkata begini, bukan sekadar mengkritik, apatah lagi menuduh sembarangan.
Kita semua mengetahui, bahawa peranan yang sepatutnya dimainkan MPP dalam memelihara bi’ah solehah di Maahad, lebih luas dan besar. Tidak bermaksud, saya mendesak MPP untuk turut menganjur program-program seperti BALKIS, ataupun turun berkawal di pagar setiap pagi seperti DHOBIT.
Saya cuma mengajak, untuk kita meneliti kembali, cita-cita penubuhan MPP. Telitilah sendiri perlembagaan MPP. Saya ulang kembali, bukankah termaktub kemas di dalamnya, peranan menyelaras perjalanan dan gerak kerja setiap organisasi pelajar di Maahad? Justeru, sepatutnya, itulah tugas-tugas MPP. Kita melihat, yang MPP kian hilang wibawanya. Mengapa? Kerana MPP hanya tinggal bilik dan beberapa orang pelajar yang memakai kot. Tidak lagi sebagai sistem yang mengawal-atur perjalanan organisasi di Maahad.
Sistem hanya tinggal terlakar di atas kertas. Tidak terlaksana. Perjalanan organisasi pelajar tidak terurus dan teratur. Ikut suka masing-masing. Ini adalah satu kerugian yang nyata! Kita sama-sama mahukan suatu kesatuan daripada segi matlamat dan cita-cita. Biarkan Pengakap dengan caranya, Polis dengan caranya, BALKIS, DHOBIT, Kaunseling dengan cara mereka. Tetapi, satukanlah mereka di atas satu cita-cita. Gembelengkan tenaga mereka, ke arah melahirkan kader-kader Islam. Kerana ia bukan hanya tugas BALKIS atau DHOBIT semata. Kaunseling (misalnya) sepatutnya turut sama berperanan melahirkan pelapis-pelapis perjuangan Islam kelak. Malangnya, setiap organisasi dengan haluan masing-masing. Mujurlah ada juga yang terus istiqamah di atas jalan Da’wah dan Tarbiyyah.
Saya boleh membayangkan, bagaimana hebatnya, kiranya kita semua (organisasi-organisasi di Maahad) bersatu atas cita-cita ini. Setiap kita berusaha melahirkan pendokong Islam melalui wadah masing-masing yang tersendiri. SubhanaLlah, pasti hebat jadinya. Sekiranya bersatu batu kerana simen.. maka hendaklah MPP menjadi seperti ‘simen’ yang mengukuh dan menyatupadukan usaha pelajar-pelajar Maahad. Agar setiap persatuan pelajar di Maahad ini menjadi ‘bata-bata’ yang terikat untuk menyokong binaan Islam.
Jangan dibazirkan kebolehan sahabat-sahabat kita. Kita semua, remaja Islam, umpama permata yang tersembunyi di celahan lumpur, tunggu masa sahaja untuk ia digilap dan menyinar terang dengan indahnya.
InsyaAllah, sahabat-sahabat MPP, bangkitlah dari lena. Renungilah tujuan asal kalian ditubuhkan. Impian dan cita-cita asal, sehingga kalian sanggup menyarung pakaian biru tersebut, yang bukan hanya uniform, tetapi amanah yang berganda-ganda beratnya.
Kita sama-sama berusaha, InsyaAllah, kalian sebutlah, kerjasama bagaimana kalian perlukan, kami akan bersedia!
Menyiapkan kerja menjadikan kita BERJAYA, menyiapkan kerja melalui orang lain menjadikan kita PEMIMPIN, tetapimengembangkan orang lainsementara membntu mereka menyiapkan kerja dengan sempurna menjadikan kita PEMIMPIN YG HEBAt